jump to navigation

Perutusan Kemerdekaan Pengerusi Task Force Kecemerlangan Miri Ogos 30, 2007

Posted by taskforcemiri in Perutusan.
1 comment so far

Malaysia Negara Tercinta  Malaysia Negara Tercinta Malaysia Negara TercintaMalaysia Negara TercintaMalaysia Negara Tercinta

“Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-50”

Salam Kemerdekaan… Ayuh… Teruskan Usaha!

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Sahabat-sahabat seperjuangan sekalian,

 

Sempena menyambut Hari Kebangsaan Ke-50, marilah kita pertingkatkan usaha  dengan lebih kuat serta sentiasalah melakukan muhasabah diri. Marilah kita merenung sejauh mana kita yang dibekalkan dengan al-Quran dan as-Sunnah ini benar-benar berusaha dan melaksanakan tuntutan yang terkandung di dalamnya dengan bersungguh-sungguh. 

 

Manfaatkanlah segala kemudahan pada zaman sains dan teknologi ini untuk mencapai matlamat hidup Muslim yang sebenarnya. Usahlah membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Manfaatkanlah masa dengan sebaiknya selari dengan maksud hadis yang mengajak merebut lima perkara sebelum ia berlalu pergi iaitu,

 

“Masa muda sebelum datangnya tua, Masa sihat sebelum sakit, Masa kaya sebelum miskin, Masa lapang sebelum sibuk dan Masa hidup sebelum mati”.

 

Muslimin-Muslimat sekalian,

 

Usaha perlu diteruskan, ambillah kesempatan dari ruang dan peluang keamanan negara kita untuk terus berusaha menyedarkan masyarakat khususnya generasi muda tentang peripentingnya kemantapan iman, penguasaan ilmu dan ketrampilan syakhsiah. Semoga kita umat Islam yang diangugerahkan Allah dengan kefahaman dan kesedaran beragama terus berusaha melaksanakan tugas dakwah dan ikhtiar islah yakni amanah al-amru bil ma’ruf wan nahyu ‘anil mungkar dengan turun padang (down to earth) secara sepenuh masa (full time) dan bukan hanya sekadar secara sambilan (part-time).

 

Ambillah pengajaran dan lihatlah kepada peristiwa paderi-paderi Korea Selatan yang ditangkap oleh pejuang Taliban di Afghanistan baru-baru ini. Paderi-paderi ini secara sepenuh masa pergi untuk memurtadkan saudara seIslam kita di sana. Mereka sanggup merentasi negara yang berada di kancah peperangan dan berdakyah pula kepada orang yang berlainan bahasa, bangsa dan agama dengan mereka. Kita pula bagaimana??? Mad’u kita seagama dan sebangsa dengan kita, malah kita berada di medan yang aman damai dan tanpa sebarang halangan. Justeru itu, tiada alasan boleh kita berikan!

 

Ikhwanul Muslimin,

 

Perlu diingat Islam itu bukan bagai bunga-bungaan indah yang boleh ditanam di mana-mana dan terus tumbuh subur dengan sendirinya. Islam itu bagai satu set bunga-bungaan yang perlu digubah indah dalam pelbagai dimensi (pendekatan bukan prinsip) untuk menarik orang terhadapnya. Lebih daripada itu, untuk menggubah set bunga ini memerlukan kepada kreativiti dan daya imaginasi serta pengorbanan masa para penggubahnya.

 

Orang Islam perlu ada sikap dan sifat kesukarelaan (volunteerism) untuk menyedarkan masyarakat. Orang Islam bukannya orang yang menentang dan mengalahkan syaitan dengan pedang dan terus masuk ke Syurga Allah. Orang Islam mesti berinteraksi dengan persekitarannya secara aktif dan sedar untuk melakukan perubahan.

 

Allah SWT berfirman di dalam Kitab Suci Al-Qur’an:

 

“Dan sesungguhnya balasan bagi seseorang ialah apa yang diusahakannya. Sesungguhnya setiap usaha itu akan diperlihatkan kepadanya. Kemudian dibalas dengan balasan yang amat sempurna.” (Surah An-Najm, ayat 39-41).

 

Perlakuan dan amalan kita bukan sahaja disaksikan oleh Allah dan RasulNya, malah turut disaksikan oleh manusia lainnya. Tuntutan Fardhu Ain dan Fadhu Kifayah juga hendaklah diselarikan. Maksudnya, dalam melakukan tuntutan Fardhu Ain, jangan kita abaikan Fardhu Kifayah. Orang Islam tidak hidup dalam suatu ruang kosong, kita sentiasa berinteraksi dengan persekitaran dan inilah salah satu pra-syarat yang menjadikan kita seorang Muslim yang baik.

 

Hal ini diperjelaskan dalam satu hadis (mafhumnya):

 

“Manusia bergantung hidup kepada Allah, yang terakrab denganNya ialah mereka yang bermanfaat kepada manusia lain.” (Sahih Muslim).

 

Berdasarkan hadis di atas, jelas betapa syarat untuk menjadi Muslim yang baik bukan setakat melakukan solat, puasa, zikir dan tasbih, tetapi yang juga menjadi ukuran ialah sumbangan kita kepada orang lain. Oleh itu, kita perlu menjadi Muslim yang prihatin kepada saudaranya, Muslim yang peka perkembangan saudaranya dan Muslim yang menjiwai ehwal saudaranya. Mafhum Hadis: “Kasihilah makhluk di bumi, nescaya kamu dikasihi makhluk di langit.”

 

Sahabat-sahabat seaqidah, 

 

Marilah kita berfikir sejenak, adakah kita sudah melakukan yang terbaik untuk ummah? Jangan kita abaikan amanah ini dengan hanya melakukannya ala-kadar sahaja. Kita perlu melakukan perkara ini dengan  rasa tanggungjawab dan penuh komitmen. Sebagai hamba yang memikul amanah Allah, kita perlu dan mesti mengambil berat tentang masalah masyarakat. Kita tidak boleh bersikap negatif  dengan menyatakan kita tidak bertanggungjawab terhadap permasalahan masyarakat.

 

Kita perlu bertindak seperti seorang doktor yang mengambil masalah tersebut sebagai satu cabaran dan tanggungjawab mengubati penyakit yang dihidapi oleh pesakitnya walaupun bukan dia yang menyembuhkan penyakit tersebut. Meskipun dia tidak mempunyai penawar sebenar bagi penyakit tersebut, tetapi dia dapat mengurangkan kesakitan dan keperitan pesakitnya. Kita tidak pernah mendengar seorang doktor menyalahkan pesakitnya. Dia sentiasa mencuba memperbaiki keadaan dengan semangat ihsan.

 

Justeru itu, marilah kita secara berkumpulan (berjamaah) bergerak untuk menyedarkan masyarakat kita yang masih lalai dan leka ke arah perubahan sosial yang lebih dinamik. Marilah kita menjadi agen pengislah yakni perubah masyarakat ke tahap yang lebih baik.

 

Firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 11 (mafhumnya):

 

“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”

 

Akhirul kalam, sambutlah Hari Kebangsaan Ke-50 dengan semangat untuk terus berjuang mengislah diri kita dan masyarakat seluruhnya. Teruskan perjuangan!

 

“Kalau Bukan Kita, Siapa? Kalau Bukan Sekarang, Bila?”

 

Wallahu a’lam.

 

Salam Perjuangan;

Ustaz Ahmad Fauzi Yaakob

Pengerusi, 

Jawatankuasa Bertindak Pengurusan Kecemerlangan Miri.

Kembara Menagih KASIH 2007 (keKASIH ’07) Ogos 27, 2007

Posted by taskforcemiri in Program dan Aktiviti.
1 comment so far

Sabah Map

Kembara Menagih KASIH (keKASIH 2007), Task Force Kecemerlangan Miri”

Alhamdulillah pada 18 – 23 Ogos 2007 yang lepas, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri telah berjaya melaksanakan ‘Kembara Menagih KASIH 2007′ (keKASIH ‘07) iaitu program Rehlah Dakwah dan Mahabbah merentasi negara Brunei Darussalam untuk retreat perancangan strategik Task Force Kecemerlangan Miri sambil menjelajah negeri Sabah Di Bawah Bayu melalui jalan darat dari Kota Kinabalu sampai ke Semporna.

 

Selain itu, dalam perjalanan pulang, rombongan jaulah yang terdiri daripada 16 orang (Ustaz Ahmad Fauzi Yaacob, Puan Lily Hj. Morni, Saudara Muhtar Suhaili, Ustaz Roshaidin Othman, Ustaz Afandi Yusoff, Ustaz Fakhrurrazi, Cikgu Mohd Shahril, Saudara Mohd Faisal, Encik Puasa Ahmat (pemandu coaster), Ustazah Noresah, Ustazah Mariani, Ustazah Norafifah, Ustazah Fuziah, Ustazah Roshanidawati, Ustazah Norizan dan Ustazah Hasliza) ini juga berkesempatan singgah di daerah Lawas untuk menjayakan program ‘Jom Cemerlang’ di SK Agama (MIS) Lawas. Sungguh, terlalu banyak cerita, kisah, pengalaman, ilmu, hikmah, pengajaran, iktibar, nasihat dan ‘ibrah yang diperolehi!

 

Petikan Kertas Kerja Program ‘keKASIH ‘07′:

‘Di sini ku berdiri, berpijak di bumi, menjunjung langit yang luas’. Demikianlah sedikit petikan lagu nasyid yang agak popular suatu ketika dulu. Berjalan, melihat dan merenung keindahan ciptaan Allah adalah merupakan satu ibadah yang sangat penting bagi melahirkan individu yang tahu dan mahu bersyukur. Semasa terikat dengan rasa kesyukuran itu, adalah lebih baik kita memberikan bukti rasa bersyukur kepada Allah atas kurniaanNya samada dengan merapatkan lagi ikatan persahabatan dan ukhuwwah, atau melakukan sesuatu yang Allah suruh dan perintah. Allah pasti sayang dan suka. Ukhuwwah dan rasa kasih atau rasa sayang itu adalah fitrah yang perlu dicari, ditagih dan dipertahankan oleh kita semua.

 

Menyedari hakikat ini, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan, Unit Pendidikan Islam dan Moral, Pejabat Pelajaran Gabungan Miri mengambil inisiatif mengadakan satu lawatan sambil belajar, menyegar minda sambil beramal yang dinamakan ‘Kembara Menagih KASIH 2007’ atau singkatannya ‘keKASIH ‘07’. Program ini dirangka khusus bagi memberi peluang kepada setiap ahli jawatankuasa belajar adat dan budaya masyarakat lain sambil  menjalankan aktiviti yang boleh merapatkan ukhuwwah. Ini memandangkan Task Force Kecemerlangan telah banyak diberi kepercayaan menjalankan aktiviti menggilap bakat, meningkatkan ilmu dan akhlak generasi tua dan muda di Bahagian Miri hampir setiap minggu. Malah melalui program rehlah kembara ini, ahli-ahli Task Force kecemerlangan juga berpeluang mengadakan diskusi memuhasabah pencapaian dan membincangkan perancangan strategik jawatankuasa ini pada masa akan datang.

 

Nama ‘Kembara Menagih KASIH 2007’ atau singkatannya ‘keKASIH ‘07’ dipilih untuk program lawatan sambil belajar ini bagi memastikan hasrat setiap ahli Task Force Kecemerlangan yang inginkan kasih sayang dan persahabatan tercapai, sambil belajar melihat adat dan budaya masyarakat di Sabah serta memberikan khidmat motivasi kepada generasi seIslam di sana. Biarlah tagih itu dicernakan dengan kasih sayang, bukan dengan sesuatu maudu’ yang lain.

 

Berikut dikongsikan catatan ‘keKASIH ‘07′ yakni agenda kembara selama 6 hari 5 malam tersebut, mudah-mudahan ada khairnya: (selanjutnya…)