jump to navigation

Perutusan Kemerdekaan Pengerusi Task Force Kecemerlangan Miri Ogos 30, 2007

Posted by taskforcemiri in Perutusan.
trackback

Malaysia Negara Tercinta  Malaysia Negara Tercinta Malaysia Negara TercintaMalaysia Negara TercintaMalaysia Negara Tercinta

“Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-50”

Salam Kemerdekaan… Ayuh… Teruskan Usaha!

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Sahabat-sahabat seperjuangan sekalian,

 

Sempena menyambut Hari Kebangsaan Ke-50, marilah kita pertingkatkan usaha  dengan lebih kuat serta sentiasalah melakukan muhasabah diri. Marilah kita merenung sejauh mana kita yang dibekalkan dengan al-Quran dan as-Sunnah ini benar-benar berusaha dan melaksanakan tuntutan yang terkandung di dalamnya dengan bersungguh-sungguh. 

 

Manfaatkanlah segala kemudahan pada zaman sains dan teknologi ini untuk mencapai matlamat hidup Muslim yang sebenarnya. Usahlah membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Manfaatkanlah masa dengan sebaiknya selari dengan maksud hadis yang mengajak merebut lima perkara sebelum ia berlalu pergi iaitu,

 

“Masa muda sebelum datangnya tua, Masa sihat sebelum sakit, Masa kaya sebelum miskin, Masa lapang sebelum sibuk dan Masa hidup sebelum mati”.

 

Muslimin-Muslimat sekalian,

 

Usaha perlu diteruskan, ambillah kesempatan dari ruang dan peluang keamanan negara kita untuk terus berusaha menyedarkan masyarakat khususnya generasi muda tentang peripentingnya kemantapan iman, penguasaan ilmu dan ketrampilan syakhsiah. Semoga kita umat Islam yang diangugerahkan Allah dengan kefahaman dan kesedaran beragama terus berusaha melaksanakan tugas dakwah dan ikhtiar islah yakni amanah al-amru bil ma’ruf wan nahyu ‘anil mungkar dengan turun padang (down to earth) secara sepenuh masa (full time) dan bukan hanya sekadar secara sambilan (part-time).

 

Ambillah pengajaran dan lihatlah kepada peristiwa paderi-paderi Korea Selatan yang ditangkap oleh pejuang Taliban di Afghanistan baru-baru ini. Paderi-paderi ini secara sepenuh masa pergi untuk memurtadkan saudara seIslam kita di sana. Mereka sanggup merentasi negara yang berada di kancah peperangan dan berdakyah pula kepada orang yang berlainan bahasa, bangsa dan agama dengan mereka. Kita pula bagaimana??? Mad’u kita seagama dan sebangsa dengan kita, malah kita berada di medan yang aman damai dan tanpa sebarang halangan. Justeru itu, tiada alasan boleh kita berikan!

 

Ikhwanul Muslimin,

 

Perlu diingat Islam itu bukan bagai bunga-bungaan indah yang boleh ditanam di mana-mana dan terus tumbuh subur dengan sendirinya. Islam itu bagai satu set bunga-bungaan yang perlu digubah indah dalam pelbagai dimensi (pendekatan bukan prinsip) untuk menarik orang terhadapnya. Lebih daripada itu, untuk menggubah set bunga ini memerlukan kepada kreativiti dan daya imaginasi serta pengorbanan masa para penggubahnya.

 

Orang Islam perlu ada sikap dan sifat kesukarelaan (volunteerism) untuk menyedarkan masyarakat. Orang Islam bukannya orang yang menentang dan mengalahkan syaitan dengan pedang dan terus masuk ke Syurga Allah. Orang Islam mesti berinteraksi dengan persekitarannya secara aktif dan sedar untuk melakukan perubahan.

 

Allah SWT berfirman di dalam Kitab Suci Al-Qur’an:

 

“Dan sesungguhnya balasan bagi seseorang ialah apa yang diusahakannya. Sesungguhnya setiap usaha itu akan diperlihatkan kepadanya. Kemudian dibalas dengan balasan yang amat sempurna.” (Surah An-Najm, ayat 39-41).

 

Perlakuan dan amalan kita bukan sahaja disaksikan oleh Allah dan RasulNya, malah turut disaksikan oleh manusia lainnya. Tuntutan Fardhu Ain dan Fadhu Kifayah juga hendaklah diselarikan. Maksudnya, dalam melakukan tuntutan Fardhu Ain, jangan kita abaikan Fardhu Kifayah. Orang Islam tidak hidup dalam suatu ruang kosong, kita sentiasa berinteraksi dengan persekitaran dan inilah salah satu pra-syarat yang menjadikan kita seorang Muslim yang baik.

 

Hal ini diperjelaskan dalam satu hadis (mafhumnya):

 

“Manusia bergantung hidup kepada Allah, yang terakrab denganNya ialah mereka yang bermanfaat kepada manusia lain.” (Sahih Muslim).

 

Berdasarkan hadis di atas, jelas betapa syarat untuk menjadi Muslim yang baik bukan setakat melakukan solat, puasa, zikir dan tasbih, tetapi yang juga menjadi ukuran ialah sumbangan kita kepada orang lain. Oleh itu, kita perlu menjadi Muslim yang prihatin kepada saudaranya, Muslim yang peka perkembangan saudaranya dan Muslim yang menjiwai ehwal saudaranya. Mafhum Hadis: “Kasihilah makhluk di bumi, nescaya kamu dikasihi makhluk di langit.”

 

Sahabat-sahabat seaqidah, 

 

Marilah kita berfikir sejenak, adakah kita sudah melakukan yang terbaik untuk ummah? Jangan kita abaikan amanah ini dengan hanya melakukannya ala-kadar sahaja. Kita perlu melakukan perkara ini dengan  rasa tanggungjawab dan penuh komitmen. Sebagai hamba yang memikul amanah Allah, kita perlu dan mesti mengambil berat tentang masalah masyarakat. Kita tidak boleh bersikap negatif  dengan menyatakan kita tidak bertanggungjawab terhadap permasalahan masyarakat.

 

Kita perlu bertindak seperti seorang doktor yang mengambil masalah tersebut sebagai satu cabaran dan tanggungjawab mengubati penyakit yang dihidapi oleh pesakitnya walaupun bukan dia yang menyembuhkan penyakit tersebut. Meskipun dia tidak mempunyai penawar sebenar bagi penyakit tersebut, tetapi dia dapat mengurangkan kesakitan dan keperitan pesakitnya. Kita tidak pernah mendengar seorang doktor menyalahkan pesakitnya. Dia sentiasa mencuba memperbaiki keadaan dengan semangat ihsan.

 

Justeru itu, marilah kita secara berkumpulan (berjamaah) bergerak untuk menyedarkan masyarakat kita yang masih lalai dan leka ke arah perubahan sosial yang lebih dinamik. Marilah kita menjadi agen pengislah yakni perubah masyarakat ke tahap yang lebih baik.

 

Firman Allah SWT di dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 11 (mafhumnya):

 

“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”

 

Akhirul kalam, sambutlah Hari Kebangsaan Ke-50 dengan semangat untuk terus berjuang mengislah diri kita dan masyarakat seluruhnya. Teruskan perjuangan!

 

“Kalau Bukan Kita, Siapa? Kalau Bukan Sekarang, Bila?”

 

Wallahu a’lam.

 

Salam Perjuangan;

Ustaz Ahmad Fauzi Yaakob

Pengerusi, 

Jawatankuasa Bertindak Pengurusan Kecemerlangan Miri.

Komen-komen»

1. HAMKA - Ogos 31, 2007

Salam perjuangan. Perutusan ini wajar dibaca oleh setiap warga pendidik Muslim dan Muslimah bagi menyedarkan semua, bahawa tanggungjawab dakwah dan islah bukan terpikul ke atas beberapa individu sahaja. Ayuh bekerjalah untuk Islam demi Allah swt, bangkitlah dari keselesaan dengan merasa kebimbangan apa yang bakal terjadi kepada umat Islam Malaysia andainya kita leka. Kepada guru-guru lakukan sesuatu… Kita bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi membina insan-insan generasi akan datang dan bergeraklah memberi kesedaran kepada ummah. MERDEKA! Bebaskan diri kita dari Jahiliah Moden & Nafsu kejahatan.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: