jump to navigation

Malam Bersamamu Palestin Di Miri 2009 Februari 2, 2009

Posted by taskforcemiri in Program dan Aktiviti.
trackback

Malam Bersamamu Palestin 2009

“Penyerahan Cek Dari Wakil PPGM Kepada Wakil AMAL Malaysia

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, segala puji bagi Allah ‘Azza Wajalla yang menjadikan jihad dan infaq sebagai satu kemuliaan! Dengan taufiq dan hidayah Allah SWT, Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Miri dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Miri, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri dan Badan-badan Islam di Miri telah berjaya menganjurkan Program Malam Bersamamu Palestin 2009 pada hari Ahad, 1 Februari 2009 bermula jam 7.30 malam sehingga 11.00 malam bertempat di Masjid At-Taqwa Miri, Sarawak.

 

‘Palestin di Hati’ dan ‘Kalau Bukan Kita, Siapa? Kalau Bukan Sekarang, Bila?’ masing-masing telah dipilih sebagai tema dan slogan program. Berikut merupakan antara objektif Program Malam Bersamamu Palestin ini dianjurkan: 

  1. Membangkitkan kesedaran dan kepedulian masyarakat terhadap usaha menyelamatkan Masjid Al-Aqsa yang mulia serta sekaligus menyatakan sokongan kepada perjuangan mendaulatkan Baitul Muqaddas dan bumi Palestin.
  2. Mengarusperdanakan isu Palestin dalam masyarakat sebagai aspek pembinaan kesatuan masyarakat dan kesedaran umat.
  3. Menimbulkan rasa syukur di atas nikmat keamanan dan kedamaian yang dimiliki, menzahirkan peripentingnya kita memastikan kesinambungannya serta menyatakan bantahan kepada segala bentuk kekejaman, penindasan dan kezaliman.
  4. Membuat kutipan Dana Palestin untuk disalurkan kepada kerajaan (HAMAS) dan rakyat Palestin.

Alhamdulillah, selama-lamanya kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas segala-galanya. Program Malam Bersamamu Palestin telah mendapat sambutan di luar jangkaan apabila berjaya menarik kehadiran lebih 1,000 hadirin memenuhi Masjid At-Taqwa Miri bagi menyatakan solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin. Program kali kedua seumpamanya selepas kali pertama pada tahun 2006 ini telah dirasmikan oleh Datuk Ir. Hj. Daud Bin Abdul Rahman, Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak. Antara pengisian program pada malam tersebut termasuklah Tayangan Multimedia Palestin, Perkongsian Khas daripada Dr. Hamdan Bin Mohamed Khalib (Naib Presiden Yayasan AMAL Malaysia) yang baru kembali daripada misi kemanusiaan ke Gaza Palestin, Ceramah Perdana “Palestin dan Peranan Kita” oleh Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor (Pengarah Palestine Center of Excellence), Persembahan Nasyid oleh pelajar-pelajar SMK Agama Miri dan Bacaan Do’a Wehdah.

 

Alhamdulillah, melalui Program Bersamamu Palestin di Miri sebanyak RM91,180 (Ringgit Malaysia Sembilan Puluh Satu Ribu Satu Ratus Lapan Puluh Sahaja) telah berjaya dikumpulkan untuk Tabung Dana Kemanusiaan Palestin yang diterima daripada masjid-masjid, surau-surau, syarikat-syarikat korporat, sekolah-sekolah, institut-institut, pelbagai badan dan agensi Islam serta individu-individu yang prihatin lagi budiman. Upacara simbolik penyerahan cek daripada wakil-wakil pihak penyumbang telah diadakan di akhir program Malam Bersamamu Palestin. Semua kutipan ini disalurkan kepada rakyat Palestin melalui 3 pihak iaitu Yayasan AMAL Malaysia, MERCY Malaysia dan Kerajaan Negeri Sarawak.

 

Malam Bersamamu Palestin 2009

“Sukarelawan AMAL dan VIP Malam Bersamamu Palestin 2009”

Program Malam Bersamamu Palestin merupakan kemuncak kepada pelbagai akitiviti-aktiviti yang telah dijalankan sebelumnya seperti berikut:

 

  • 9 Jan 2009: Pelancaran Tabung Dana Palestin
  • 9 & 16 Jan 2009: Khutbah Jumaat Isu Palestin & Qunut Nazilah
  • 9, 16, 23 & 30 Jan 2009: Pameran dan Edaran Risalah Palestin
  • 13 Jan 2009: Roadshow Isu Palestin, IKBN Miri
  • 17 Jan 2009: Roadshow Isu Palestin, SMK Dato’ Permaisuri
  • 18 Jan 2009: Roadshow Isu Palestin, SMK Agama Miri
  • 20 Jan 2009: Roadshow Isu Palestin, ILP Miri
  • 21 Jan 2009: Roadshow Isu Palestin, SM Sains Miri
  • 22 Jan 2009: Roadshow Isu Palestin, Kompleks Kebajikan Hamidah
  • 23 Jan 2009: Roadshow Isu Palestin, PCSB SKO
  • 29 Jan 2009: Roadshow Isu Palestin, Masjid Taman Tunku
  • 31 Jan 2009: XPDC Semarak Isu Palestin, Imperial Mall & e-mart
  • 31 Jan 2009: Roadshow Isu Palestin, Masjid Ar-Rayyan
  • 1 Feb 2009: Training-of-Trainers (ToT) Bersama PACE
  • 1 Feb 2009: Program Perdana Bersamamu Palestin, Masjid At-Taqwa
  •  

    Program Malam Bersamamu Palestin ini diharap telah membangkitkan semangat dan memberi kesedaran kepada warga masyarakat Islam di Bandaraya Miri tentang isu Palestin. Kerjasama daripada semua pihak amatlah diharapkan untuk terus memastikan umat Islam memahami peranan serta tanggungajwab mendesak yang wajar mereka laksanakan demi melihat bumi Palestin kembali berdaulat dan rakyatnya kembali merasai keamanan. Marilah kita terus berjuang dan berkorban atas kapasiti yang termampu demi Allah dan agama Islam yang kita cintai! Jom selamatkan Masjid Al-Aqsa dan Bumi Al-Quds!

     

    ‘Kalau Bukan Kita, Siapa? Kalau Bukan Sekarang, Bila?’

     

    Palestin di Hati;

    Abu ‘Izz Mukhtar Suhaili
    Pengarah Program Malam Bersamamu Palestin 2009
    Merangkap Pengerusi Yayasan Amal Malaysia (Miri)

    Komen-komen»

    1. proud to be teacher - Februari 9, 2009

    Alhamdulillah dakwah di Miri semakin berkembang…
    Kalau boleh try wat program kat IPGM (Institut Perguruan)
    Insya Allah sebagai permulaan kepada bakal para pendidik untuk sedar peranan dan tanggungjawab sebagai seorang guru dan sebagai individu Muslim.

    2. hanya Allah yang tahu - April 10, 2009

    saya amat kagum dengan usaha anda insya-Allah kita akan berjaya dalam usaha membantu sahabat dan saudara seislam kita.. insya-Allah


    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: