jump to navigation

Perutusan Ramadhan 1430H / 2009 Ogos 20, 2009

Posted by taskforcemiri in Perutusan.
add a comment

الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على اشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين

 

Assalamu‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Segala puji milik ALLAH SWT, Tuhan Pemilik segala benda di langit dan di bumi. Selawat dan salam diucapkan buat junjungan tercinta Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda. Baginda insan agung yang terlalu berjasa buat kita, dengan jasanya dinikmati iman dan Islam.

 

Ayuh kita mengukuhkan rasa kesyukuran yang sememangnya menjadi kewajipan kita sebagai hamba-hamba ALLAH SWT. Syukur dilaksanakan melalui hati, lisan dan amal atas kurnia-Nya yang sekali lagi mengizinkan kita bersama dengan tetamu agung tahunan ini yakni Ramadhan Al-Mubarak.

 

Pada tahun ini kita menyambut Ramadhan bersamaan dengan Bulan Kemerdekaan Negara. Ia bersamaan dengan tema Ramadhan itu sendiri iaitu pada akhirnya merdeka dari api neraka.

 

Justeru, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan juga menyambut kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga kemerdekaan kita ini diberkati oleh Allah sehingga kita merdeka jiwa, merdeka budaya, merdeka identiti, merdeka tanah air sebagaimana kita merdeka dari azab neraka Allah pada hari Akhirat nanti.

 

Ramadhan bulan yang penuh dengan keberkatan, membawa sekian banyak rahmat dan kurniaan untuk dikaut oleh orang-orang yang bertaqwa.

 

Marilah sama-sama kita mengusahakan ikhtiar yang terbaik untuk memenuhi setiap detik dalam madrasah ataupun akademi ruhaniyah tahunan ini dengan segala macam bentuk ‘ibadah, sebagai tanda gembira atas peluang pahala kebajikan berganda-ganda kepada kita. Hadiah yang berupa Ramadhan Al-Mubarak ini ialah satu hadiah terlalu istimewa buat ummat Nabi Muhammad SAW. (selanjutnya…)

Solat Hajat dan Motivasi Perdana 2009 Ogos 16, 2009

Posted by taskforcemiri in Program dan Aktiviti.
3 comments
Ceramah Motivasi Perdana oleh Ustaz Akhwan Afandi

Ceramah Motivasi Perdana oleh Ustaz Akhwan Afandi

الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على اشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين

 

Alhamdulillah atas segala-galanya. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam Yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Hidayah. Selawat serta salam untuk kekasih Allah, Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

 

Alhamdulillah, pada 16 Ogos 2009, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri berjaya melaksanakan program tahunannya iaitu Solat Hajat Perdana Menjelang Peperiksaan bertempat di Masjid At-Taqwa, Bandaraya Miri. Istimewanya, kehadiran penceramah motivasi Ustaz Akhwan Afandi telah menjadikan program kali ini lebih bermakna dan sekitar 1,500 pelajar di bahagian Miri telah menghadiri Solat Hajat Perdana ini selain kehadiran ibubapa dan penjaga.

 

Saidina Umar Al-Khattab RA pernah berkata, “Langit tidak pernah menurunkan hujan emas atau perak.” Kata-kata ini cukup memberikan pengertian tentang erti tawakkal dan menyerahkan diri kepada Allah. Mengharapkan sesuatu daripada Allah, tidak cukup hanya dengan doa, tetapi juga disertai dengan usaha dan ikhtiar. Sesudah bekerja dan berusaha, barulah kita menyerahkan hasilnya kepada Allah. Kita melakukan mana yang biasa dan dalam batas kemampuan kita selaku manusia yang lemah, sedang yang di luar itu, kita serahkan urusannya kepada Allah.

 

Menyedari hakikat inilah, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Unit Pendidikan Islam Dan Moral, Pejabat Pelajaran Gabungan Miri telah mengadakan program Solat Hajat Perdana khusus untuk pelajar-pelajar sekolah menengah dan rendah yang akan menempuh peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun 2009.

 

Antara misi dan objektif program ini termasuklah: 

  1. Memberi peluang kepada semua pihak untuk sama-sama menyatukan tekad, berdoa memohon kepada Allah SWT agar kecemerlangan itu menjadi satu realiti.
  2. Membina tautan ukhuwwah yang berkesan dalam hubungan sesama umat Islam yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kehidupan agar dengan hubungan itu dapat menjana satu kekuatan dari segala aspek.
  3. Merealitikan konsep Usaha Doa dan Tawakkal.

(selanjutnya…)