jump to navigation

Laporan Program Semarak Wahyu 1430H September 6, 2009

Posted by taskforcemiri in Program dan Aktiviti, Tazkirah.
add a comment
Sumbangan Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri kepada Kompleks Kebajikan Hamidah

Sumbangan Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri kepada Kompleks Kebajikan Hamidah

الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على اشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين

 

Alhamdulillah atas segala-galanya. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam Yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Hidayah. Selawat serta salam untuk kekasih Allah, Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

 

Alhamdulillah. Program Semarak Wahyu dan Ceramah Perdana bersama Ustaz Wan Shohor Bani Leman sempena Sambutan Nuzul Al-Qur’an peringkat Bahagian Miri berjaya dianjurkan dengan jayanya pada 5-6 September 2009 bertempat di Masjid At-Taqwa Miri. Program ini merupakan anjuran bersama Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tabung Baitulmal Sarawak dan Masjid At-Taqwa Miri.

 

Sempena dengan program ini juga, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri telah menyumbangkan sebanyak RM9,151.45 kepada Kompleks Kebajikan Hamidah, Lembaga Kebajikan Yayasan Anak Yatim Sarawak. Selain itu, Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak turut menyerahkan sumbangan Hari Raya sebanyak RM2,000 kepada Tabung Baitulmal Sarawak untuk diagihkan kepada fakir miskin dan golongan yang memerlukan di sekitar Miri. Puan Hajjah Juliyanah Abdul Hamid, Pengurus Besar Kompleks Kebajikan Hamidah hadir menerima replika cek dari Encik Awang Ibrahim, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Miri dengan diiringi oleh Ustaz Ahmad Fauzi Yaakob, Pengerusi Task Force Kecemerlangan Miri. Manakala Puan Marini Juraibi, Ketua Cawangan Tabung Baitulmal Sarawak Miri telah hadir menerima sumbangan dari AMAL Sarawak yang diserahkan oleh Pengerusinya Saudara Muhtar Hj Suhaili. 

 

Sementara itu, Ustaz Wan Shohor Bani Leman di dalam ceramahnya yang bertajuk “Al-Qur’an Memerdekakan Manusia” telah mengajak hadirin yang dianggarkan mencecah lebih 500 orang untuk kembali ber’amal dengan hukum Al-Qur’an dan As-Sunnah. Menurut beliau, sekiranya umat Islam mengamalkan kehidupan menurut tuntutan Islam yang sempurna, maka mereka mampu membina tamadun yang tinggi sepertimana yang pernah dicapai oleh generasi unggul Islam pada masa yang silam. Ramadhan merupakan bulan terbaik untuk masyarakat Islam memperbanyakkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mudah-mudahan dengan ini mereka akan mencapai merdeka yang hakiki. Seterusnya, Ustaz Wan Shohor menegaskan betapa pentingnya umat Islam mengamalkan keseluruhan secara bersepadu ajaran Nabi Muhammad SAW yang syumul (lengkap merangkumi semua aspek kehidupan) kerana baginda merupakan contoh teladan terbaik sepanjang zaman. Dengan mengikuti ajaran Rasul, maka semua manusia akan selamat dalam kehidupan di dunia dan Akhirat. (selanjutnya…)

Anak Kita Tanggungjawab Kita November 29, 2007

Posted by taskforcemiri in Tazkirah.
1 comment so far

Seindah Hiasan!

“Anak-anak Adalah Cahaya Mata…”

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh;

 

Marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan mengerjakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dalam menjalankan tugas kita sebagai ibubapa, orang yang memikul amanah dalam membimbing anak-anak dan sebagai anak-anak yang mentaati kedua ibubapa. Dalam sebuah riwayat yang dikeluarkan oleh Abd Razzak dan Said bin Mansur daripada Ali r.a berkata: “Didiklah anak-anak dan keluargamu dengan baik serta hiasilah mereka dengan akhlak yang baik”.

 

Sementara itu, pepatah Melayu berbunyi ‘melentur buluh biarlah dari rebung’ patut dijadikan amalan. Pendidikan dan pembentukan keperibadian anak hendaknya bermula dari kecil lagi. Ini mesti dilakukan oleh ibu dan bapa. Bagaimana mendidik anak supaya menjadi seorang berakhlak mulia, penyantun serta berbudi bahasa dalam usia anak yang masih mentah. Pertama, ibubapa perlu berusaha untuk memenuhi hak asasi anak seperti yang digariskan oleh Islam. Prof Abdul Rahim Omran berkata ada 10 hak asasi seorang anak iaitu;

 

1. Hak untuk hidup.
2. Hak untuk mempunyai genetik sahih (anak yang dilahirkan oleh ibubapa yang sah pernikahannya).
3. Hak untuk mempunyai nama baik.
4. Hak untuk mendapat belaian kasih sayang, perlindungan & penyusuan ibu.
5. Hak untuk mendapat tempat tidur berasingan.
6. Hak untuk mendapat pendidikan dan ilmu pengetahuan.
7. Hak untuk dibesarkan di dalam suasana Islam.
8. Hak untuk mendapatkan setiap sesuatu yang dibelanjakan baginya dari sumber halal.
9. Hak untuk mempelajari kemahiran hidup dan pertahanan diri.
10. Hak untuk mendapat layanan saksama tanpa mengira jantina. 

 

(selanjutnya…)

Iman Seperti Roller Coaster – Maka Istiqamahlah! November 17, 2007

Posted by taskforcemiri in Tazkirah.
add a comment

Hebatnya Orang-orang Yang Beriman

“Alangkah Hebat dan Tingginya Darjat Orang-orang Yang Beriman!”

Alhamdulillah atas segala-galanya. Sesungguhnya kehidupan kita di dunia ini semuanya adalah ketentuan dari Allah SWT Yang Maha Tahu. Sudah sunnatullah ada siang dan ada malam, ada lelaki dan ada wanita, ada masa senang dan ada masa susah, ada waktu gembira dan ada waktu berduka, ada ketikanya bahagia dan ada ketikanya derita, ada ketawa dan ada airmata, ada orang kaya dan ada orang miskin. Maka demikian jugalah dengan kondisi iman kita… Dalam analogi hari ini, iman bolehlah diumpamakan seperti roller coaster. Sudah sunnatullah sekejap naik dan sekejap turun, malah kadang bertambah dan kadang berkurang sebagaimana dalam sebuah hadith disabdakan bahawa al-iimanu yazid wa yankus. Justeru itu, menilai diri (melakukan muhasabah) hendaklah menjadi rutin harian seorang hamba dalam memikul amanah agama dan melaksanakan kewajiban sebagai Khalifatullah. Atas segalanya, istiqamahlah!

 

Rasulullah SAW bersabda: “Katakanlah! Aku percaya kepada Allah kemudian istiqamahlah (pegang teguhlah pendirian itu).” Dengan itulah kita hadapi segala persoalan di dalam hidup ini. Dengan itu kita kibarkan panji kita. Kalimat itulah yang terlukis pada jiwa kita, dan dengan pendirian itu kita hidup di tengah-tengah masyarakat. Dengan itu kita jiwai seluruh kebudayaan dalam segala macam seginya, dengan itu pula kita mencari pengetahuan dalam segala macam cabangnya. Itulah pangkalan tempat kita bertolak dan itulah pelabuhan terakhir tempat bahtera itu bersauh.

 

Prof. Dr. Hamka di dalam bukunya “Pandangan Hidup Muslim” menjelaskan dengan amat menarik tentang makna istiqamah. Beliau menukilkan: “Kita akan mengembara di dalam hidup. Kita akan menempuh lautan dan daratan. Kita akan menempuh bunga kuncup dan bunga kembang. Kita akan menempuh pasang naik dan pasang surut. Kita akan menempuh angin sepoi dan angin puting-beliung. Kita bertemu dengan yang benar dan yang salah, yang elok dan buruk, yang indah dan yang jelek sekalipun. Kita akan pernah merasa puas dan pernah pula merasa kecewa. Kita akan pernah merasa ragu-ragu, akan tetapi terang-benderang pun akan ada dalam jiwa kita, dan ada juga masanya berjumpa gelap dan gelita. Tetapi yakinlah bahawa satu hal tidaklah akan pernah padam, meskipun diakui dia pernah juga litup diselaputi awan, namun hilang sama sekali dia tidak.

 

Yang satu itu ialah kepercayaan kepada adanya Tuhan! Kepercayaan yang satu itulah yang disuruh pelihara baik-baik, dipegang teguh-teguh, sebab inilah ‘pangkal tempat bertolak’, dan ini pulalah keputusan dari segala hukum.

 

Kalau di dalam alam besar cakerawala ada matahari yang tidak pernah padam cahayanya, maka di dalam alam kecil iaitu insan pada diri kita, kepercayaan itulah mataharinya. Tetap memelihara dan memegang kepercayaan itu, itulah bernama “istiqamah”. (selanjutnya…)

Karnival Ramadhan.. Ramadhan Kariim! September 11, 2007

Posted by taskforcemiri in Tazkirah.
1 comment so far

Karnival Ramadhan

Muhasabah: Kenapa Kita Diuji? September 4, 2007

Posted by taskforcemiri in Tazkirah.
1 comment so far

Pantai Kehidupan 

“Semoga kita berjaya mengharungi gelora mehnah dan tribulasi kehidupan menuju ke pelabuhan kejayaan” 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Sahabat-sahabat seperjuangan sekalian,

 

Semua manusia di muka bumi ini dalam apa peringkat sekalipun tidak terlepas daripada ujian Allah. Raja diuji, rakyat diuji, orang besar diuji, orang kecil diuji, orang perempuan diuji, orang lelaki diuji, orang jahat diuji, orang baik-baik pun diuji. Semua manusia tidak akan dapat mengelakkan diri mereka daripada diuji.

 

Ujian itu berbagai-bagai pula bentuknya. Bahkan seribu satu macam ujian datang menimpa dan datang dengan tidak disangka-sangka. Ada yang diuji dengan kemiskinan, kesakitan, bencana alam, kejahatan manusia, fitnah, dengki, penyakit bawaan haiwan, bahaya yang datang dari makanan, bahkan adakalanya ujian perasaan. Kadang-kadang perkara-perkara yang tidak terfikir dan terduga dek akal pun boleh menjadi ujian kepada manusia.

 

Ujian demi ujian datang menerpa. Isteri memudharatkan suami, suami memudharatkan isteri. Anak memudharatkan ibubapa, ibubapa memudharatkan anak-anaknya. Murid-murid memudharatkan guru, guru-guru memudharatkan murid-muridnya. Adakalanya kenderaan memudharatkan manusia. Harta juga sering memudharatkan tuannya sebagaimana pangkat dan kuasa memudharatkan pemiliknya. Paling menyedihkan apabila sahabat mengkhianati sahabatnya. Malah lebih malang lagi ialah apabila pendakwah menabur fitnah kepada pendakwah yang lain!

 

Ujian, mehnah dan tribulasi adalah lumrah di dalam Sekolah Kehidupan ini. Kalau memang sudah begini hakikatnya, alangkah baiknya jika ketika kita diuji dalam keadaan kita mentaatiNya daripada diuji dalam keadaan kita menderhaka kepadaNya. Ini kerana sudah tentu ujian dalam keadaan kita mentaatiNya itu pasti akan mendapat redha Allah selain mendapat darjat dan pangkat di dalam Syurga. Kalau dalam derhaka kemudian diuji juga, maka rugilah di dua negeri. Di negeri dunia mendapat kesusahan, di negeri Akhirat sana Neraka pula menjadi balasan. Na’uzubillahi min dzalik.

 

Apabila menyebut tentang ujian, maka renungilah falsafah bermakna yang digali rahsianya dari Kitab Suci Al-Qur’an Al-Karim berikut. Hayatilah ia dengan mata hati, semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua. Amiin.

 

KENAPA AKU DIUJI?
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah Al-Ankabut, ayat 2-3)

 

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, ayat 216)

 

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 286)

 

RASA FRUST?
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 139)

 

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Surah Ali ‘Imran, ayat 200)

 

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk” (Surah Al-Baqarah, ayat 45)

 

APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…” (Surah At-Taubah, ayat 111)

 

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal.” (Surah At-Taubah, ayat 129)

 

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!!!
“… dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” (Surah Yusuf, ayat 12)

 

Semoga segala persoalan dan rintihan yang melanda jiwa dan sanubari kita terubat dengan janji-janji Allah… Sesungguhnya kepada Kitab Suci Al-Qur’anlah tempat kita merujuk segala permasalahan kerana ia adalah penawar… Penawar untuk kita… Marilah kita kembali kepada Al-Qur’an… Kembali mengamalkan ajaran yang terkandung di dalamnya sepenuhnya… Semoga Allah memberkati sahabat-sahabat seperjuangan sekalian! Amiin.

 

Wallahu a’lam bissawab.