jump to navigation

Forum Remaja: “Di Mana Kasih, Di Mana Sayang?” Ogos 17, 2008

Posted by taskforcemiri in Jom Cemerlang, Program dan Aktiviti.
add a comment

Forum Remaja Sempena Karnival ‘Amal Merdeka 2008 di ILP Miri”

AlhamdulillahForum Remaja Sempena Karnival ‘Amal Merdeka 2008 yang menggandingkan Ustaz Akhwan Afandi Zulkifli (Moderator Adnin Management & Training Centre), Saudara Muhtar Suhaili (Jurutera Sarawak Shell Berhad) dan Ustaz Ramadhan Fitri Ellias (Perunding Syariah RHB Bank) sebagai ahli panel selain Ustaz Mohd Nassru Abdul Latif sebagai moderator telah berjaya dilangsungkan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri pada 17 Ogos 2008. Semoga tujuan program yang digariskan oleh pihak penganjur iaitu ke arah pembinaan budaya cintakan Allah, kasihkan Rasulullah dan sayang sesama manusia dalam kalangan remaja sebagai generasi harapan masa hadapan dapat dipersada. Semoga segala krisis identiti, budaya negatif dan virus benci juga akan dibakulsampahkan. 

 

Sesungguhnya generasi muda di negara ini merupakan kelompok terbesar  yang mengisi ruang populasi dari jumlah keseluruhan kependudukan negara. Menurut statistik, dianggarkan sebanyak 50 peratus daripada seramai 24 juta rakyat Malaysia adalah mereka yang berusia di antara 15 hingga 40 tahun. Kadar ini menunjukkan betapa generasi muda merupakan kelompok masyarakat yang memainkan peranan yang amat besar dan penting dalam menentukan jatuh bangunnya negara. Ini sekaligus membayangkan bahawa apa juga yang mereka lakukan atau berlaku ke atas mereka pastinya akan memberi implikasi kepada kemandirian negara.

 

Justeru, forum bertajuk “Di Mana Kasih, Di Mana Sayang?” dengan tema “Kecemerlanganmu Dihargai, Hidupmu Diberkati” ini diharapkan telah memberi input-input bermakna kepada remaja yang hadir agar terus berilmu dan memanfaatkan ilmu tersebut demi untuk pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan ummah. Mudah-mudahan. (selanjutnya…)

Advertisements

Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam Peringkat Negeri Sarawak 2008 Ogos 1, 2008

Posted by taskforcemiri in Program dan Aktiviti.
add a comment

Perasmian Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam Peringkat Negeri Sarawak

“Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam Peringkat Negeri Sarawak 2008”

الحمدلله  رب  العالمين،  والصلاة  والسلام  على  اشرف  الأنبياء والمرسلين وعلى  اله  وصحبه  اجمعين

 

Alhamdulillah atas segala-galanya. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam Yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Hidayah. Selawat serta salam untuk kekasih Allah, Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

 

Bertitik-tolak dari Hadith Rasulullah SAW: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipersoalkan tentang kepimpinannya”, Sektor Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dengan kerjasama Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri telah menganjurkan Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam Peringkat Negeri Sarawak pada 28-31 Julai 2008. Seramai lebih 100 orang pelajar Islam Tingkatan 4 dari sekolah-sekolah di Bahagian Miri (Daerah Miri-Bakong, Subis dan Baram), Bintulu, Limbang dan Lawas yang mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin sekolah telah mengikuti program selama 4 hari 3 malam bertempat di Kampung Sukan Petronas Miri ini. Pelajar-pelajar terpilih dan terbaik sepanjang program ini akan mengikuti Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam Peringkat Kebangsaan.

 

Alhamdulillah, sepanjang program berlangsung banyak pengisian telah dilaksanakan merangkumi ceramah-ceramah motivasi, kemahiran dan pengurusan, aktiviti berbentuk fizikal yakni riadhah, latihan dinamika kumpulan, slot etika sosial, slot muhasabah, sesi hati ke hati, qiammullail, operasi khidmat pemimpin di mana para peserta turun ke sekolah-sekolah rendah untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari dan beberapa modul lain. Alhamdulillah, hasil daripada feedback yang diterima, program kali ini telah menaikkan motivasi, memberi manfaat, banyak membantu, mengobarkan semangat dan menimbulkan kesedaran kepada pelajar.

 

Jadual Pelaksanaan Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam 2008
 

Jadual Program Nadwah

  

  (selanjutnya…)

Forum Remaja Sempena Karnival ‘Amal Merdeka 2008 Julai 10, 2008

Posted by taskforcemiri in Jom Cemerlang, Program dan Aktiviti.
1 comment so far

Forum Remaja Cemerlang

[Forum Remaja Sempena Karnival ‘Amal Merdeka 2008 yang Insya Allah akan diadakan pada 17 Ogos 2008 ini merupakan program anjuran bersama Yayasan ‘Amal Malaysia (Cawangan Sarawak Unit Miri) dan Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri.  (Poster hasil kreativiti Ustaz Fauzi). Forum Remaja “Di Mana Kasih, Di Mana Sayang?” ini terbuka kepada semua remaja yang berada di luar sana. Para remaja dan pelajar sekolah yang berminat serta ibubapa yang ingin mendaftarkan anak-anak mereka untuk mengikuti program ini, sila hubungi/ sms penama berikut: Muhtar Suhaili (016-8909717), Ustaz Nik Syazmizi (019-4583994), Ustaz Ahmad Fauzi (016-8164466), Puan Lily (016-8729208), Ustazah Noresah (013-9421300) atau Ustazah Norafifah (019-3037286). Yuran penyertaan adalah PERCUMA. Remaja Cemerlang, Negara Gemilang, Ummah Terbilang!]

Wallahu a’la wa ‘alam.

Program-program Task Force Pengurusan Kecemerlangan Akan Datang Jun 14, 2008

Posted by taskforcemiri in Program dan Aktiviti, Task Force Cemerlang.
add a comment

Program Task Force Jun-Julai 2008

[Kemaskini: Kem Waja Diri ditangguhkan ke satu masa yang belum ditetapkan manakala Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam Peringkat Negeri Sarawak telah dipinda ke 28-31 Julai 2008. Harap maklum.]

[Kem Waja Diri merupakan satu program berbentuk pembentukan jatidiri dan kepimpinan kendiri dan merupakan program kali kedua seumpamanya dianjurkan oleh Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri. Selain itu, Sektor Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pelajaran Sarawak turut mengamanahkan Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri untuk menganjurkan Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam Peringkat Negeri pada tahun ini.]  

Karnival 'Amal Merdeka

[Karnival ‘Amal Merdeka yang Insya Allah dirancang akan diadakan pada 16-17 Ogos 2008 merupakan program anjuran Yayasan ‘Amal Malaysia (Sarawak) Cawangan Miri dengan kerjasama Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri dan beberapa badan Islam yang lain. Antara program yang akan dilaksanakan termasuklah Forum Perdana, Larian ‘Amal, Futsal ‘Amal, Pemeriksaan Kesihatan dan Derma Darah ‘Amal, Forum Remaja dan Konsert Kesenian Islam. Maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian.]

Kem Motivasi Insan Cemerlang UPSR 2008 Mei 4, 2008

Posted by taskforcemiri in Program dan Aktiviti.
1 comment so far

Kem Motivasi Insan Cemerlang

“Kem Motivasi Insan Cemerlang UPSR 2008”

الحمدلله  رب  العالمين،  والصلاة  والسلام  على  اشرف  الأنبياء والمرسلين وعلى  اله  وصحبه  اجمعين

 

Alhamdulillah atas segala-galanya. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam Yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Hidayah. Selawat serta salam untuk kekasih Allah, Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

 

Di dalam usaha melestari generasi Rabbani di bumi Miri agar sentiasa menunjang agama, serta sekaligus bagi menggilap  potensi agar terus memiliki sahsiah dan akhlak yang murni, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan, Unit Pendidikan Islam Dan Moral, Pejabat Pelajaran Gabungan Miri telah berikhtiar melaksanakan satu program membina jati diri pelajar cemerlang yang dinamakan sebagai ‘Kem Motivasi Insan Cemerlang UPSR 2008’ atau ringkasannya ‘KMIC UPSR 2008’.

 

Alhamdulillah, program KMIC UPSR 2008 telah berjaya dilangsungkan selama 3 hari 2 malam iaitu bermula pada 1 Mei sehingga 3 Mei 2008. Program yang bertujuan untuk melahirkan individu Muslim yang berkebolehan ini telah dikendalikan oleh 20 orang urus setia dan 15 orang fasilitator yang dipilih dalam kalangan  pelajar cemerlang dan terpilih Tingkatan 4 dan 5 dari 2 buah sekolah terkemuka di Miri iaitu SM Sains Miri dan SMK Agama Miri.  Alhamdulillah, seramai 153 orang murid Islam Tahun 6 yang cemerlang dan berpotensi cemerlang dari seluruh Bahagian Miri termasuk Daerah Kecil Baram dan Subis telah terpilih menyertai program motivasi, kepimpinan dan pendidikan ini.

 

Secara umumnya, KMIC UPSR 2008 pada kali ini sangat memberi makna kepada 3 pihak iaitu peserta, ibu bapa dan ahli-ahli Task Force Pengurusan Kecemerlangan sendiri. Bagi peserta program, mereka mendapat banyak pendedahan dari sudut ilmu dan pengalaman yang sedaya upaya memberi ‘tahu’ dan memberi ‘mahu’ kepada mereka agar dapat memperbaiki diri menjadi insan yang berguna pada masa hadapan. Mereka juga merasa segala susah dan senang apabila berada dalam situasi berjauhan dari ibu bapa, belajar berdikari, seterusnya mampu melatih diri untuk berada dalam sekolah berasrama kelak atau ketika menuntut di universiti 5-7 tahun akan datang.

 

 

Kepada ibu bapa, terutamanya dalam slot terakhir KMIC UPSR 2008, mereka dapat mendengar sendiri pengisian berbentuk ilmu dan pengalaman daripada seorang penceramah yang juga merupakan Timbalan Pengerusi 1 Task Force Pengurusan Kecemerlangan iaitu Puan Lily Bte Haji Morni dengan tajuk ‘Anakku Permataku’. Ibu bapa dapat diterapkan dengan semangat membara berkeinginan untuk menjadikan anak-anak permata masing-masing cemerlang bukan sahaja di dunia tetapi juga di Akhirat. Di akhir program ini, ibu bapa dapat melihat sendiri hasilnya apabila anak-anak yang mereka tinggalkan untuk menyertai KMIC UPSR 2008 ini memeluk dan mencium mereka dengan titisan air mata kesedaran. Adalah diharapkan semangat kesedaran untuk menjadi anak-anak yang soleh dapat disempurnakan hingga ke akhir hayat generasi muda pewaris Islam ini. 

 

Kepada ahli-ahli Task Force Pengurusan Kecemerlangan pula, inilah kali pertama sejak penubuhannya, program yang dijalankan melibatkan bukan sahaja peserta dalam kalangan murid-murid sekolah, tetapi juga ibu bapa mereka dengan sesi bersama ibu bapa pada sesi terakhir program. Tahniah dan terima kasih kepada semua ahli-ahli Task Force Pengurusan Kecemerlangan yang sangat komited dan berdedikasi. Selain itu, penggerak Task Force Pengurusan Kecemerlangan juga diharapkan dapat menimba banyak pengalaman dari ceramah-ceramah yang disampaikan di samping pengalaman menguruskan majlis yang melibatkan ramai jemputan luar. Semoga pengorbanan, kesungguhan dan perjuangan kita diterima oleh Allah dan dibalas dengan SyurgaNya. Amiin.

 

Lebih daripada itu, buat pertama kalinya juga Task Force Pengurusan Kecemerlangan dapat melihat kesungguhan dan pengorbanan penampilan sulung adik-adik fasilitator yang terpilih dari 2 buah sekolah yang hebat dalam menjayakan program KMIC UPSR 2008 kali ini. Dengan pemilihan fasilitator yang juga merupakan pelajar cemerlang di SM Sains Miri dan SMK Agama Miri ini, diharapkan dapat memberi input yang berkesan dalam mencernakan dan memotivasikan adik-adik peserta Tahun 6 dalam mencapai kejayaan dalam peperiksaan UPSR 2008.  

 

 

Akhir sekali, alhamdulillah, program ini banyak memberi faedah dan manfaat samada secara tersurat atau tersirat. Kesungguhan dan komitmen secara kerjasama yang diberikan oleh semua pihak tanpa mengira usia, darjat, bangsa dan agama dalam menjayakan program ini amatlah membanggakan. Semarak semangat perjuangan dan pengorbanan demi Islam dan kerana Allah mudah-mudahan telah berjaya dicernakan melalui program ini. Semoga misi kecemerlangan ummah dan negara dalam membangunkan modal insan berjaya dimartabatkan.

 

Akhir kalam, ‘Kalau Bukan Kita Siapa, Kalau Bukan Sekarang Bila?’.

 

Disediakan oleh;

Ustaz Roshaidin Bin Othman
Pengurus Program,
Kem Motivasi Insan Cemerlang UPSR 2008,
Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan,
Unit Pendidikan Islam Dan Moral,
Pejabat Pelajaran Gabungan Miri.

Kem Motivasi Insan Cemerlang PMR 2008 Mac 24, 2008

Posted by taskforcemiri in Program dan Aktiviti.
add a comment

“Kem Motivasi Insan Cemerlang PMR 2008”

الحمدلله  رب  العالمين،  والصلاة  والسلام  على  اشرف  الأنبياء والمرسلين وعلى  اله  وصحبه  اجمعين

 

Alhamdulillah atas segala-galanya. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam Yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Hidayah. Selawat serta salam untuk kekasih Allah, Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

 

Alhamdulillah, jutaan kesyukuran dipanjatkan dengan Rahmat serta InayahNya, Kem Motivasi Insan Cemerlang (KMIC) PMR telah berjaya dilangsungkan selama 3 hari 2 malam iaitu bermula pada 21 Mac 2008 dan berakhir pada 23 Mac 2008. Kem yang telah dijalankan di Lembaga Pelabuhan Miri (Miri Port) ini telah disertai oleh 105 orang pelajar Islam Tingkatan 3 dari seluruh Bahagian Miri. Secara umumnya program anjuran Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan, Unit Pendidikan Islam dan Moral, Pejabat Pelajaran Gabungan Miri ini telah dikendalikan oleh 22 orang urus setia dan 14 orang fasilitator secara sukarela (suka dan rela).

 

Sebagaimana program-program anjuran Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan yang lain, penganjuran KMIC PMR kali ini juga mempunyai matlamat dan objektif tersendiri. Antara matlamat program ini diadakan adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada peserta agar lebih mengenali potensi dan membentuk sakhsiah diri supaya mereka lebih bermatlamat dan berwawasan dalam mencipta kecemerlangan di dunia dan akhirat. Sepanjang kem, peserta turut disuntik dengan sifat-sifat kepimpinan dan ketelusan bermasyarakat supaya dapat membentuk jatidiri yang mantap dan berjiwa besar dalam membangunkan diri, keluarga, masyarakat dan agama. Mudah-mudahan cita-cita Islam mampu mereka tegakkan!

 

Secara keseluruhannya program KMIC PMR 2008, telah dijalankan dengan jayanya. Pihak penganjur juga merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pihak En Adnan mewakili Lembaga Pelabuhan Miri (Miri Port), jawatankuasa Surau Al-Khariah, Lembaga Pelabuhan Miri, semua urus setia dan fasilitator yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini dan semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dalam menjayakan KMIC PMR 2008. Semoga segala usaha dan bakti yang dicurahkan akan diberkati dan dirahmati oleh Allah Ta’ala.

 

Kepada semua peserta Kem Motivasi Insan Cemerlang PMR 2008, didoakan akan terus maju dan mencapai kecemerlangan di dunia dan Akhirat. Semoga keazaman dan tekad yang berkobar terus membara dalam jiwa dan membentuk jatidiri yang teguh dan peribadi yang unggul.

 

“Kalau Bukan Kita, Siapa?, Kalau Bukan Sekarang, Bila?”.

 

Disediakan oleh;

Ustazah Noresah Binti Mohd @ Abdulllah
Pengurus Program,

Kem Motivasi Insan Cemerlang PMR 2008,
Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan,
Unit Pendidikan Islam Dan Moral,
Pejabat Pelajaran Gabungan Miri.

Kem Motivasi Insan Cemerlang SPM 2008 Februari 10, 2008

Posted by taskforcemiri in Program dan Aktiviti.
2 comments

“Kem Motivasi Insan Cemerlang SPM 2008”

الحمدلله  رب  العالمين،  والصلاة  والسلام  على  اشرف  الأنبياء والمرسلين وعلى  اله  وصحبه  اجمعين

 

Alhamdulillah atas segala-galanya. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam Yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Hidayah. Selawat serta salam untuk kekasih Allah, Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

 

Alhamdulillah, pada 7-9 Februari 2008, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri buat tahun ke-3 berturut-turut berjaya menganjurkan Program Kem Motivasi Insan Cemerlang SPM. Seramai 147 orang pelajar Islam yang cemerlang dan punya potensi cemerlang telah menghadiri program motivasi dan kepimpinan selama 3 hari 2 malam ini.

 

Berikut adalah pengisian yang telah dilaksanakan sepanjang program ini:

 

1. Ceramah “Mari Berdisiplin” oleh Ustaz Amir Mustapha

2. Ceramah “Jom Cemerlang” oleh En. Muhtar Haji Suhaili

3. Kuliah “Secawan Kopi” oleh Ustaz Ahmad Fauzi Yaakub

4. Muhasabah “Roda Impian” oleh Ustaz Roshaidin Othman

5. Ceramah “Solat Asas Kecemerlangan” oleh Ustaz Nik Shazmizi Nik Sin

6. Ceramah “Anak Soleh” oleh Ustaz Nik Shazmizi Nik Sin

7. Ceramah “Jatuh Bangun Kembali” oleh En. Hamidon Abdul Ghani

8. Kuliah Subuh 1 oleh Ustaz Muzaha @ Abu Wildan

9. Kuliah Subuh 2 oleh Ustaz Arisan Abdul Rahman

10. Ceramah “Pelan Tindakan Saya” oleh En. Norman Suhaili

11. Aktiviti Riadhah Kecergasan “Minda Cerdas” – Pagi/ Petang

12. Forum: En. Shahril, Puan Lily Haji Morni, En. Khairul Nizam, Dr. Hartini

13. 4 Sesi Latihan Dinamika Kumpulan (LDK) yang dikendalikan oleh 15 orang fasilitator terlatih.

 

Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih kepada semua urusetia, penceramah, fasilitator dan para peserta di atas semangat, kesungguhan dan kemahuan membara yang ditunjukkan sepanjang program ini. Mudah-mudahan kita semua telah mendapat manfaat dan beroleh kekuatan untuk terus ber’amal kerana Allah serta menjadi insan cemerlang di Sekolah Kehidupan. Sehingga berjumpa lagi di puncak kejayaan. Semoga kita akan bertemu dan berbahagia bersama-sama di Akhirat sana. Amiin.

 

“Kalau Bukan Kita, Siapa?, Kalau Bukan Sekarang, Bila?”.

 

Disediakan oleh;

Muhtar Hj. Suhaili
Pengurus Program,

Kem Motivasi Insan Cemerlang SPM 2008,
Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan,
Unit Pendidikan Islam Dan Moral,
Pejabat Pelajaran Gabungan Miri.

Jom Umrah Bersama Task Force Miri Januari 18, 2008

Posted by taskforcemiri in Program dan Aktiviti, Task Force Cemerlang.
add a comment

Jom Umrah

Sekiranya berminat, sila hubungi:

 

1. Ustaz Ahmad Fauzi Yaakob

     019-8854266 (somchit_pratchai@yahoo.com)

2. Ustaz Roshaidin Othman

     012-6948756 (therockns@hotmail.com)

3. Encik Muhtar Hj Suhaili

     016-8909717 (al_akhyar81@yahoo.com)

4. Puan Lily Hj Morni

     016-8729208 (lilyhjmorni@yahoo.com.my)