jump to navigation

Perutusan Hari Raya 1428H Pengerusi Task Force Kecemerlangan Miri Oktober 11, 2007

Posted by taskforcemiri in Perutusan.
1 comment so far

   

“Selamat Hari Raya ‘Aidil Fitri 1428H”

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh!

 

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar!

 

Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang telah menganugerahkan kepada kita nikmat kebahagiaan dan kegembiraan Hari Raya yang penuh dengan keberkatan. Kegembiraan yang kita rasakan pada hari adalah disebabkan oleh dua perkara:

 

Pertama: Gembira kerana pada hari ini kita telah berjaya menyelesaikan suatu tugas yang diamanahkan kepada kita untuk melaksanakannya dengan sempurna iaitu berpuasa di bulan Ramadhan dan seterusnya dapat meningkatkan amal ibadat dan takwa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala seperti mengerjakan Sembahyang Tarawikh, Tadarus Al-Qur’an, memberi sedekah, beriktikaf di waktu malam untuk mendapatkan Lailatul Qadar, membanyakkan doa dan zikir dan sebagainya.

 

Kedua: Gembira kerana kita mendapat jaminan pengampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana telah berjaya melaksanakan puasa sempurna di bulan Ramadhan.

 

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar!

 

Dengan kembalinya kita kepada keadaan fitrah iaitu dalam keadaan suci disebabkan mendapat keampunan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, maka sewajarnya kita mempertingkatkan ketaatan dalam melaksanakan perintah-perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala serta menjauhi larangan-larangan-Nya dengan ikhlas dan berharap benar akan keredhaanNya. Di samping itu kita juga hendaklah meningkatkan amal bakti kepada masyarakat dengan bekerjasama, bantu-membantu dan sebagainya. Ini kerana dengan demikian sahajalah, keharmonian hidup bermasyarakat dapat dikecapi dan dinikmati, yang akhirnya membawa kepada kegembiraan dan kebahagiaan.

 

Sebenarnya peningkatan diri ke arah kebaikan dan perubahan sikap dari negatif kepada positif boleh berlaku daripada penghayatan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Lebih daripada itu, puasa juga mampu memainkan peranan penting dalam proses pemulihan akhlak dan tarbiyyah bagi setiap Muslim kepada berakhlak mulia.

 

Amalan bertadarus Al-Qur’an sebagai salah satu bentuk ibadat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang banyak dilakukan di bulan Ramadhan tidak sewajarnya terhenti setakat itu sahaja, malah ia perlu ditingkatkan kepada penghayatan Al-Qur’an dengan mengadakan penyelidikan, kajian dan diskusi bagi melahirkan insan Muslim yang mampu menghadapi sebarang kemungkinan ketika berhadapan dengan musuh-musuh Allah. Kita perlu berusaha memajukan ummah secara kolektif seperti yang dianjurkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam KitabNya. Insya Allah selepas melalui latihan di Ramadhan tahun ini, kita akan lebih cekal dan matang untuk melihat dalam ruang lingkup yang lebih luas permasalahan ummah.

 

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar!

 

Pernahkah kita terfikir, mengapa satu agama yang agung mempunyai penganut yang mundur dan ketinggalan di belakang? Bagaimana boleh kita terangkan tentang jurang yang besar di antara Islam dan Muslim hari ini? Pasti ada sesuatu yang tidak kena.

 

Masalah ini sebenarnya terletak pada umat itu sendiri, bukannya Islam. Seluruh tenaga dan kekuatan ada dalam Islam. Kita mundur disebabkan pemahaman dan pentafsiran kita tentang Islam terlalu statik, cetek, sempit dan mendatar.

 

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

 

“…Kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang Mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui” (Surah Al-Munafiqun, ayat 8).

 

Justeru itu, marilah sama-sama kita kumpulkan tenaga besar yang ada pada ummah ini dalam bentuk tenaga kinetik dan dinamik yang berupaya merubah keadaan dan persekitaran. Kita perlu ingat betapa untuk menjadi seorang Islam yang baik bukan setakat melakukan solat, puasa, zikir, tasbih dan sebagainya, tetapi yang menjadi ukuran ialah sumbangan kita kepada masyarakat.

 

Sesebuah jamaah/ persatuan bukan sahaja berkhidmad untuk dirinya, tetapi perlu menyumbang kepada insan lain. Perlu difahami betapa jamaah merupakan satu alat membentuk organisasi kea rah mencapai objektifnya. Kepentingan organisasi mestilah mengikut kepentingan ummah dan manusia seluruhnya. Marilah kita seiring dan sejalan untuk membantu membentuk generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang dituntut oleh agama sesuai dengan tema: “Kalau Bukan Kita, Siapa? Kalau Bukan Sekarang, Bila?”.

 

Insya Allah, mudah-mudahan setelah kita dilatih di dalam Madrasah Ramadhan, kita akan mendapat maghfirah Allah. Mudah-mudahan juga Ramadhan yang dilalui telah meningkatkan taqwa kita dan menjadikan iman kita lebih mantap. Marilah sama-sama kita mengembangkan fikrah ke arah kecemerlangan ummah khususnya generasi muda yang akan mewarisi amanah Islam.

 

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillaahilhamd.

 

Sebagai peringatan bersama, di samping kesibukan dan keseronokan merayakan Hari Raya yang berbahagia ini, jangan sampai lalai sehingga kita meninggalkan kewajipan kita sebagai umat Islam dan melakukan perkara yang boleh mencemarkan kemuliaan Hari Raya ini seperti meninggalkan Solat Fardu lima waktu, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, mengumpat, memakai pakaian yang mendedahkan aurat, menghidangkan hidangan yang haram dan bermacam-macam lagi kemungkaran. Semoga Hari Raya yang kita rayakan benar-benar akan membawa keberkatan dan kesejahteraan kepada kita semua. Amiin.

 

Bersempena Hari Raya Aidil Fitri yang mulia ini, marilah kita saling bermaaf-maafan, kunjung-mengunjungi bagi mengeratkan lagi tali persaudaraan. Buang yang keruh ambil yang jernih dan lupakanlah sebarang persengketaan. Ingatlah bahawa ikatan persaudaraan yang dijalin berlandaskan agama Islam akan melahirkan perpaduan yang kukuh dan akan melahirkan keluarga dan masyarakat bahagia, penyayang dan harmoni. Ukhuwwah fillah ini seterusnya akan mewujudkan umat yang kuat dan negara yang aman makmur, penuh dengan rahmat dan pengampunan serta lindungan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

 

عِيْدُ مُبَارَكْ – (Selamat) Hari Raya yang diberkati. تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ  – Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan kalian semua. Kullu ‘aam wa antum bikhair!

 

“Selamat Hari Raya ‘Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin” 

“Kalau Bukan Kita, Siapa? Kalau Bukan Sekarang, Bila?”

 

Wallahu a’lam.

 

Salam Lebaran;

Ustaz Ahmad Fauzi Yaakob

Pengerusi, 

Jawatankuasa Bertindak Pengurusan Kecemerlangan Miri. 

Task Force Mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin Oktober 5, 2007

Posted by taskforcemiri in Perutusan.
3 comments

Kad Raya Task Force

Kad Raya Task Force

Selamat Hari Raya ‘Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin.