jump to navigation

Laporan Program Semarak Wahyu 1430H September 6, 2009

Posted by taskforcemiri in Program dan Aktiviti, Tazkirah.
trackback
Sumbangan Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri kepada Kompleks Kebajikan Hamidah

Sumbangan Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri kepada Kompleks Kebajikan Hamidah

الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على اشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين

 

Alhamdulillah atas segala-galanya. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam Yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Hidayah. Selawat serta salam untuk kekasih Allah, Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

 

Alhamdulillah. Program Semarak Wahyu dan Ceramah Perdana bersama Ustaz Wan Shohor Bani Leman sempena Sambutan Nuzul Al-Qur’an peringkat Bahagian Miri berjaya dianjurkan dengan jayanya pada 5-6 September 2009 bertempat di Masjid At-Taqwa Miri. Program ini merupakan anjuran bersama Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tabung Baitulmal Sarawak dan Masjid At-Taqwa Miri.

 

Sempena dengan program ini juga, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri telah menyumbangkan sebanyak RM9,151.45 kepada Kompleks Kebajikan Hamidah, Lembaga Kebajikan Yayasan Anak Yatim Sarawak. Selain itu, Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak turut menyerahkan sumbangan Hari Raya sebanyak RM2,000 kepada Tabung Baitulmal Sarawak untuk diagihkan kepada fakir miskin dan golongan yang memerlukan di sekitar Miri. Puan Hajjah Juliyanah Abdul Hamid, Pengurus Besar Kompleks Kebajikan Hamidah hadir menerima replika cek dari Encik Awang Ibrahim, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Miri dengan diiringi oleh Ustaz Ahmad Fauzi Yaakob, Pengerusi Task Force Kecemerlangan Miri. Manakala Puan Marini Juraibi, Ketua Cawangan Tabung Baitulmal Sarawak Miri telah hadir menerima sumbangan dari AMAL Sarawak yang diserahkan oleh Pengerusinya Saudara Muhtar Hj Suhaili. 

 

Sementara itu, Ustaz Wan Shohor Bani Leman di dalam ceramahnya yang bertajuk “Al-Qur’an Memerdekakan Manusia” telah mengajak hadirin yang dianggarkan mencecah lebih 500 orang untuk kembali ber’amal dengan hukum Al-Qur’an dan As-Sunnah. Menurut beliau, sekiranya umat Islam mengamalkan kehidupan menurut tuntutan Islam yang sempurna, maka mereka mampu membina tamadun yang tinggi sepertimana yang pernah dicapai oleh generasi unggul Islam pada masa yang silam. Ramadhan merupakan bulan terbaik untuk masyarakat Islam memperbanyakkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mudah-mudahan dengan ini mereka akan mencapai merdeka yang hakiki. Seterusnya, Ustaz Wan Shohor menegaskan betapa pentingnya umat Islam mengamalkan keseluruhan secara bersepadu ajaran Nabi Muhammad SAW yang syumul (lengkap merangkumi semua aspek kehidupan) kerana baginda merupakan contoh teladan terbaik sepanjang zaman. Dengan mengikuti ajaran Rasul, maka semua manusia akan selamat dalam kehidupan di dunia dan Akhirat.

 

Selain Ceramah Perdana, program Semarak Wahyu tersebut turut melibatkan aktiviti gotong-royong memasak Bubur Asyura, Tadarus Al-Qur’an, Berbuka Puasa, Solat Maghrib, Solat Isya’, Solat Tarawih, Qiammullail, Sahur berjamaah, Solat Subuh dan Kuliah Subuh bertajuk “Halatuju Ibadah” yang telah disampaikan oleh Ustaz Arisan Abdul Rahman. Hampir 150 orang pelajar Sekolah Menengah di sekitar Miri terlibat di dalam Program Tadarus Al-Qur’an pada petang Sabtu dan pelajar-pelajar terbabit turut terlibat di dalam pertandingan Kuiz Ramadhan yang diadakan pada keesokan harinya. Majlis Penutupan telah dilangsungkan pada hari Ahad, 6 September 2009, bermula 8.00 pagi di Dewan Khas Masjid At-Taqwa Miri.

 

Turut hadir di dalam program Semarak Wahyu dan Ceramah Perdana termasuklah Tuan Ahmad Chee Kadir (Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri), Tuan Haji Abdul Rahman Fadzail (Temenggong Bahagian Miri), Tuan Haji Yusop Sani Wahab, Ustaz Haji Rosli Arup (Ketua Penolong Pengarah JAIS Zon Utara Sarawak), Tuan Haji Ahmad Mokhtar (Pengerusi Masjid At-Taqwa Miri), Ustaz Mohd Naqzrul Azraf Mohd Nazarludin (Ketua JAKIM Unit Miri), Encik Zamnee Ismail (Ketua AADK Daerah Miri), Ustaz Zaidi Makhtar (Wakil Pengarah AADK Negeri Sarawak), Encik Himran Entoh (Penolong Pengarah IKBN Miri) dan Encik Sobian Hadi (Wakil Pengarah ILP Miri).

 

Berikut merupakan gambar-gambar program Semarak Wahyu 1430H:

 

Pendaftaran Peserta Tadarus Al-Qur'an

Pendaftaran Peserta Tadarus Al-Qur'an

Kehadiran Peserta Tadarus Al-Qur'an

Kehadiran Peserta Tadarus Al-Qur'an

Taklimat kepada Peserta Tadarus Al-Qur'an

Taklimat kepada Peserta Tadarus Al-Qur'an

Pameran AADK dan Booth AMAL Charity Shop

Pameran AADK dan Booth AMAL Charity Shop

Gotong-royong memasak Bubur Asyura

Gotong-royong memasak Bubur Asyura

Penyediaan Bubur Asyura

Penyediaan Bubur Asyura

Jamaah mengambil juadah berbuka puasa

Jamaah mengambil juadah berbuka puasa

Ust Wan Shohor dan VIP berbuka puasa

Ust Wan Shohor dan VIP berbuka puasa

Solat Tarawih berjamaah di Masjid At-Taqwa

Solat Tarawih berjamaah di Masjid At-Taqwa

Ucapan Pengerusi AMAL Cawangan Sarawak

Ucapan Pengerusi AMAL Cawangan Sarawak

Ustaz Wan Shohor Bani Leman

Ustaz Wan Shohor Bani Leman

Ceramah Ustaz Wan Shohor Bani Leman

Ceramah Ustaz Wan Shohor Bani Leman

Sebahagian daripada Hadirin Muslimin

Sebahagian daripada Hadirin Muslimin

Sebahagian daripada Hadirat Muslimat

Sebahagian daripada Hadirat Muslimat

Sumbangan Kepada Tabung Baitulmal Sarawak

Sumbangan Kepada Tabung Baitulmal Sarawak

Sumbangan kepada Kompleks Kebajikan Hamidah

Sumbangan kepada Kompleks Kebajikan Hamidah

Timbalan Datuk Bandar menyampaikan Cenderahati kepada Ustaz Wan Shohor

Timbalan Datuk Bandar menyampaikan Cenderahati kepada Ustaz Wan Shohor

Urusetia bersama Ustaz Wan Shohor

Urusetia bersama Ustaz Wan Shohor

Sahur beramai-ramai di Masjid At-Taqwa

Sahur beramai-ramai di Masjid At-Taqwa

Tazkirah Subuh oleh Ust Arisan Abd Rahman

Tazkirah Subuh oleh Ust Arisan Abd Rahman

 

Tahniah dan terima kasih kepada semua jawatankuasa pelaksana Program Semarak Wahyu 1430H di atas komitmen jitu yang ditunjukkan. Semoga Allah SWT menerima segala ‘amalan kita. Siiru ‘ala barakatillah. Fastabiqul khairat!

 

Wallahu a’lam bissawab.

 

“Kalau Bukan Kita, Siapa?, Kalau Bukan Sekarang, Bila?”.  

 

Disediakan oleh;

Ustaz Roshaidin Othman &

Saudara Mohd Faizal Suhaimin

Pengurus Bersama Program,

Program Semarak Wahyu 1430H,

Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan,

Unit Pendidikan Islam Dan Moral,

Pejabat Pelajaran Gabungan Miri.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan komen