jump to navigation

Perutusan Ramadhan 1430H / 2009 Ogos 20, 2009

Posted by taskforcemiri in Perutusan.
trackback

الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على اشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين

 

Assalamu‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Segala puji milik ALLAH SWT, Tuhan Pemilik segala benda di langit dan di bumi. Selawat dan salam diucapkan buat junjungan tercinta Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda. Baginda insan agung yang terlalu berjasa buat kita, dengan jasanya dinikmati iman dan Islam.

 

Ayuh kita mengukuhkan rasa kesyukuran yang sememangnya menjadi kewajipan kita sebagai hamba-hamba ALLAH SWT. Syukur dilaksanakan melalui hati, lisan dan amal atas kurnia-Nya yang sekali lagi mengizinkan kita bersama dengan tetamu agung tahunan ini yakni Ramadhan Al-Mubarak.

 

Pada tahun ini kita menyambut Ramadhan bersamaan dengan Bulan Kemerdekaan Negara. Ia bersamaan dengan tema Ramadhan itu sendiri iaitu pada akhirnya merdeka dari api neraka.

 

Justeru, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan juga menyambut kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga kemerdekaan kita ini diberkati oleh Allah sehingga kita merdeka jiwa, merdeka budaya, merdeka identiti, merdeka tanah air sebagaimana kita merdeka dari azab neraka Allah pada hari Akhirat nanti.

 

Ramadhan bulan yang penuh dengan keberkatan, membawa sekian banyak rahmat dan kurniaan untuk dikaut oleh orang-orang yang bertaqwa.

 

Marilah sama-sama kita mengusahakan ikhtiar yang terbaik untuk memenuhi setiap detik dalam madrasah ataupun akademi ruhaniyah tahunan ini dengan segala macam bentuk ‘ibadah, sebagai tanda gembira atas peluang pahala kebajikan berganda-ganda kepada kita. Hadiah yang berupa Ramadhan Al-Mubarak ini ialah satu hadiah terlalu istimewa buat ummat Nabi Muhammad SAW.

 

Bersama-sama kita berdoa agar ALLAH SWT senantiasa mengurniakan keampunan, rahmat, kasih sayang, pemeliharaan dan hidayah-Nya kepada kita agar selamat di dunia dan Akhirat kelak. Lazimkan doa sepanjang bulan mulia ini, mendoakan kesejahteraan kita dan saudara kita di seluruh dunia, secara khususnya Muslimin dan Muslimat di negara-negara seperti Palestin, Iraq, Afghanistan, Chezh, Selatan Thailand, Kashmir, Selatan Filipina dan lain-lain lagi.

 

Bagi anak-anak yang akan menduduki peperiksaan UPSR di dalam bulan Ramadhan ini, gunakanlah kesempatan untuk mencipta yang terbaik sempena Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Begitu juga anak-anak yang akan meduduki PMR dan SPM selepas ini, gunakanlah peluang di Ramadhan ini untuk bermunajat kepada Allah demi kelangsungan kecemerlangan Islam. Ingat… Anak-anak sekalian adalah penerus kelangsungan kecemerlangan!.

 

Dengan keterlibatan dalam Akademi Ramadhan ini juga, diharapkan kita dapat meningkatkan kefahaman dan kebersamaan kita dengan Al-Quran Al-Karim. Al-Quran ialah Kalamullah yang terpelihara dan menjadi panduan umat Islam yang tiada ternilai. Sama-sama kita jadikan Al-Quran manual utama kehidupan. Hal ini sejajar dengan firman-Nya dalam Suratul Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

 

“Bulan Ramadhan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterang an yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah).”

 

Semoga penghayatan Ramadhan sepenuh hati dapat memantapkan rasa kehambaan dan kebersamaan dengan ALLAH SWT, lantas meningkatkan kualiti kehidupan dalam segenap aspek khususnya aspek akademik bagi anak-anak yang akan menduduki peperiksaan. Apa sahaja yang dilaksanakan, selagi mana tidak keluar daripada garisan syar’iat, maka itulah ‘ibadah penghambaan kita kepada ALLAH SWT.

 

Ayuh, majulah ke hadapan. Semoga Ramadhan berjaya mengukuhkan persediaan kita di alam persinggahan yang sementara ini.

 

Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri dengan ini mengucapkan “Selamat Menyambut Ramadhan 1430H.”

 

“Kalau Bukan Kita, Siapa?, Kalau Bukan Sekarang, Bila?”.

 

Wallahu a’lam bissawab.

 

Ustaz Ahmad Fauzi Yaakob 

Pengerusi,

Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan,

Unit Pendidikan Islam Dan Moral,

Pejabat Pelajaran Daerah Miri.

Komen-komen»

No comments yet — be the first.

Tinggalkan komen