jump to navigation

Kem Motivasi Insan Cemerlang SPM 2009 Februari 8, 2009

Posted by taskforcemiri in Program dan Aktiviti.
7 comments

Kem Motivasi Insan Cemerlang SPM 2009

“Kem Motivasi Insan Cemerlang SPM 2009”

الحمدلله  رب  العالمين،  والصلاة  والسلام  على  اشرف  الأنبياء والمرسلين وعلى  اله  وصحبه  اجمعين

 

Alhamdulillah atas segala-galanya. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam Yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi Hidayah. Selawat serta salam untuk kekasih Allah, Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

 

Alhamdulillah, pada 6-8 Februari 2009, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri buat tahun ke-4 berturut-turut berjaya menganjurkan Program Kem Motivasi Insan Cemerlang SPM. Seramai 153 orang pelajar Islam (64 orang lelaki dan 89 orang perempuan) yang cemerlang dan punya potensi cemerlang dari sekolah-sekolah di bahagian Miri, Daerah Subis dan Daerah Baram telah menghadiri program motivasi dan kepimpinan selama 3 hari 2 malam bertempat di Kampung Sukan Petronas ini. 

 

Antara objektif program berorientasikan ReThink, ReFocus, ReLearn, ReEnergize ini dilaksanakan termasuklah:

  1. Mengenal, memahami dan sekaligus dapat memanifestasikan erti kecemerlangan insan yang sebenar
  2. Melestarikan kemahuan membara (burning desire) serta meningkatkan nyala rasa, kekuatan semangat dan ketahanan diri untuk mencapai kecemerlangan berlandaskan persoalan 4W 1H:  What, Why, When, Where, How?.
  3. Memantapkan ciri-ciri pemimpin dalam diri pelajar dan sekaligus membentuk jati diri yang mantap serta berjiwa besar
  4. Penerapan unsur-unsur penghayatan Islam yang syumul khususnya dalam penguasaan ilmu pengetahuan (fardhu ‘ain dan fardhu kifayah) pada diri pelajar.

 

Jadual Pelaksanaan Kem Motivasi Insan Cemerlang SPM 2009

Jadual Pelaksanaan Kem Motivasi Insan Cemerlang SPM 2009 

 

  (selanjutnya…)

Malam Bersamamu Palestin Di Miri 2009 Februari 2, 2009

Posted by taskforcemiri in Program dan Aktiviti.
2 comments

Malam Bersamamu Palestin 2009

“Penyerahan Cek Dari Wakil PPGM Kepada Wakil AMAL Malaysia

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, segala puji bagi Allah ‘Azza Wajalla yang menjadikan jihad dan infaq sebagai satu kemuliaan! Dengan taufiq dan hidayah Allah SWT, Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Miri dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Miri, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri dan Badan-badan Islam di Miri telah berjaya menganjurkan Program Malam Bersamamu Palestin 2009 pada hari Ahad, 1 Februari 2009 bermula jam 7.30 malam sehingga 11.00 malam bertempat di Masjid At-Taqwa Miri, Sarawak.

 

‘Palestin di Hati’ dan ‘Kalau Bukan Kita, Siapa? Kalau Bukan Sekarang, Bila?’ masing-masing telah dipilih sebagai tema dan slogan program. Berikut merupakan antara objektif Program Malam Bersamamu Palestin ini dianjurkan: 

  1. Membangkitkan kesedaran dan kepedulian masyarakat terhadap usaha menyelamatkan Masjid Al-Aqsa yang mulia serta sekaligus menyatakan sokongan kepada perjuangan mendaulatkan Baitul Muqaddas dan bumi Palestin.
  2. Mengarusperdanakan isu Palestin dalam masyarakat sebagai aspek pembinaan kesatuan masyarakat dan kesedaran umat.
  3. Menimbulkan rasa syukur di atas nikmat keamanan dan kedamaian yang dimiliki, menzahirkan peripentingnya kita memastikan kesinambungannya serta menyatakan bantahan kepada segala bentuk kekejaman, penindasan dan kezaliman.
  4. Membuat kutipan Dana Palestin untuk disalurkan kepada kerajaan (HAMAS) dan rakyat Palestin.

Alhamdulillah, selama-lamanya kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas segala-galanya. Program Malam Bersamamu Palestin telah mendapat sambutan di luar jangkaan apabila berjaya menarik kehadiran lebih 1,000 hadirin memenuhi Masjid At-Taqwa Miri bagi menyatakan solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin. Program kali kedua seumpamanya selepas kali pertama pada tahun 2006 ini telah dirasmikan oleh Datuk Ir. Hj. Daud Bin Abdul Rahman, Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak. Antara pengisian program pada malam tersebut termasuklah Tayangan Multimedia Palestin, Perkongsian Khas daripada Dr. Hamdan Bin Mohamed Khalib (Naib Presiden Yayasan AMAL Malaysia) yang baru kembali daripada misi kemanusiaan ke Gaza Palestin, Ceramah Perdana “Palestin dan Peranan Kita” oleh Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor (Pengarah Palestine Center of Excellence), Persembahan Nasyid oleh pelajar-pelajar SMK Agama Miri dan Bacaan Do’a Wehdah.

 

Alhamdulillah, melalui Program Bersamamu Palestin di Miri sebanyak RM91,180 (Ringgit Malaysia Sembilan Puluh Satu Ribu Satu Ratus Lapan Puluh Sahaja) telah berjaya dikumpulkan untuk Tabung Dana Kemanusiaan Palestin yang diterima daripada masjid-masjid, surau-surau, syarikat-syarikat korporat, sekolah-sekolah, institut-institut, pelbagai badan dan agensi Islam serta individu-individu yang prihatin lagi budiman. Upacara simbolik penyerahan cek daripada wakil-wakil pihak penyumbang telah diadakan di akhir program Malam Bersamamu Palestin. Semua kutipan ini disalurkan kepada rakyat Palestin melalui 3 pihak iaitu Yayasan AMAL Malaysia, MERCY Malaysia dan Kerajaan Negeri Sarawak. (selanjutnya…)