jump to navigation

Perutusan Ramadhan Pengerusi Task Force Kecemerlangan Miri September 15, 2007

Posted by taskforcemiri in Perutusan.
add a comment

   

“Selamat Menyemarakkan Ramadhan 1428H”

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh!

 

Sahabat-sahabat seperjuangan sekalian,

 

Ramadhan datang berkunjung lagi, membawa bersamanya pelbagai hikmat dan nikmat. Selain mendidik kita menyedari kehadiran Allah, dosa dan pahala, alam barzakh dan akhirat, syurga dan neraka, syaitan dan malaikat, Ramadhan juga membuat kita lebih sedar tentang hati, ruh, ilmu, akal dan nafsu. Pendidikan Ramadhan ini ternyata amat berkesan dalam membentuk jatidiri dan kekuatan umat Islam di sepanjang lipatan sejarah.  Ramadhan bolehlah dianggap sebagai satu sekolah latihan untuk mentarbiyah diri ke arah ketaqwaan kepada Allah. Ini kerana latihan amali di dalamnya memerlukan manusia melakukanya dengan penuh istiqamah, tunduk dan patuh dengan segala arahan lahiriah dan batiniah, dan bukan hanya sekadar menahan diri dari makan dan minum sahaja.

 

Di sekolah Ramadhan ini kita akan dilatih untuk meningkatkan tahap keimanan diri. Ihsan dan Itqan iaitu sentiasa berusaha untuk melayakkan diri ke tahap yang lebih tinggi adalah asas bagi membolehkan kita menerima dan melaksanakan segala perintah dan laranganNya dalam mencapai ‘ISO’ yang Allah tetapkan. Ia memberikan kekuatan kepada kita untuk berlumba-lumba berebut peluang “gandaan ganjaran, darajaat” di sisi Allah .

 

Dengan keyakinan dan tarbiyah inilah bangsa Arab dapat mendisiplinkan diri. Melalui keyakinan dan tarbiyah ini jugalah bangsa Melayu mempunyai kekuatan dan jatidiri, walaupun sebelumnya banyak dipengaruhi animisme. Dengannya pulalah seorang hamba seperti Bilal bin Rabah mampu merdeka dan memerdekakan orang lain dari perhambaan yang tersirat dan tersurat. Apabila hilang keyakinan ini, lunturlah Islam kita dan lenyaplah kekuatan seseorang. Dan apabila hilang Islam maka tiadalah nilai lagi seseorang itu di sisi Allah, baik dia seorang Arab, Melayu atau bangsa apa saja. Inilah yang disebut oleh Allah dalam ayat 13 Surah Al-Hujurat: “Sesungguhnya yang paling mulia di antara  kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa”.

 

Insya Allah apabila selesai ditarbiyah di sekolah Ramadhan nanti, kita akan lebih hebat dan penuh komitmen untuk meneruskan perjuangan. Jangan jadikan Ramadhan datang dan berlalu begitu saja tanpa ada sebarang perubahan dalam menjiwai agama. Fikiran kita perlu maju setapak lagi setelah tarbiyah ini diterima. Ingat… untuk menuju akhirat kita perlu berhadapan dengan dunia, gagal kita di dunia maka gagallah kita di Akhirat. Apa yang kita lakukan di dunia akan dipersoal oleh Allah di Akhirat nanti, sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W (mafhumnya): “Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggujawabkan terhadap kepimpinannya itu” (Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Tarmizi dan Sunan Abu Daud).

 

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

 

Dalam era globalisasi ini kita berhadapan dengan pelbagai halangan dan rintangan. Maka untuk menghadapinya  kita perlu kreatif dan proaktif. Cuba kita lihat…. Kehancuran ummah dengan pelbagai gejala sekarang, puncanya adalah dari musuh-musuh Islam yang kreatif… Barat telah menjadikan perkara yang haram itu sesuatu yang menarik, memikat dan berlebihan, berbeza dengan kita yang menjadikan perkara halal sesuatu yang susah, menjijikkan dan sedikit. Semasa kita mencegah manusia daripada yang haram, kita perlu menyediakan alternatif yang halal. Dapat dikatakan bahawa Barat mempunyai produk yang kurang baik tetapi jurujualnya kreatif dan aktif, kita mempunyai produk yang baik tetapi jurujualnya pasif dan kurang baik. Mereka seolah-olah memandu kereta yang selalu rosak , tetapi penumpangnya adalah jurutera-jurutera dan mekanik-mekanik yang boleh membaikinya selalu. Kita pula seperti pemandu kereta baru yang diimport tanpa mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesekali kereta itu rosak, kita berhenti di situ selama-lamanya..

 

Insya Allah, rebutlah peluang yang diberikan oleh Allah dengan kita sekali lagi dimasukkan ke sekolah Ramadhan untuk membina diri dan menanam tekad yang lebih jitu dan padu untuk memungkinkan kita menjadi agen perubahan sosial dan kebangkitan ummah.

 

Justeru itu, sempena Ramadhan ini marilah kita  tingkatkan pelaburan perniagaan kita dengan Allah yang cukup lumayan keuntungannya. Pilihlah Allah dan RasulNya, beribadah dan belajarlah bersungguh-sungguh agar Ramadhan ini tidak pergi begitu saja tanpa sebarang perubahan selepasnya nanti.

 

Ikhwah Akhawat Fillah,

 

Insya Allah, mudah-mudahan setelah kita selesai berada di sekolah Ramadhan nanti, kita akan menggunakan kekuatan Iman dan Amal yang kita perolehi darinya untuk mempertingkatkan usaha dan gerakan yang lebih tersusun dan penuh komitmen bagi membentuk generasi berilmu dan beramal.

 

Insya Allah, berusahalah di Ramadhan ini agar kita dianugerahkan sebagai ‘pelajar cemerlang’ di Akhirat nanti.

 

“Selamat Menghayati dan Menyemarakkan Ramadhan” 

“Kalau Bukan Kita, Siapa? Kalau Bukan Sekarang, Bila?”

 

Wallahu a’lam.

 

Salam Ramadhan;

Ustaz Ahmad Fauzi Yaakob

Pengerusi, 

Jawatankuasa Bertindak Pengurusan Kecemerlangan Miri. 

Karnival Ramadhan.. Ramadhan Kariim! September 11, 2007

Posted by taskforcemiri in Tazkirah.
1 comment so far

Karnival Ramadhan

Muhasabah: Kenapa Kita Diuji? September 4, 2007

Posted by taskforcemiri in Tazkirah.
1 comment so far

Pantai Kehidupan 

“Semoga kita berjaya mengharungi gelora mehnah dan tribulasi kehidupan menuju ke pelabuhan kejayaan” 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Sahabat-sahabat seperjuangan sekalian,

 

Semua manusia di muka bumi ini dalam apa peringkat sekalipun tidak terlepas daripada ujian Allah. Raja diuji, rakyat diuji, orang besar diuji, orang kecil diuji, orang perempuan diuji, orang lelaki diuji, orang jahat diuji, orang baik-baik pun diuji. Semua manusia tidak akan dapat mengelakkan diri mereka daripada diuji.

 

Ujian itu berbagai-bagai pula bentuknya. Bahkan seribu satu macam ujian datang menimpa dan datang dengan tidak disangka-sangka. Ada yang diuji dengan kemiskinan, kesakitan, bencana alam, kejahatan manusia, fitnah, dengki, penyakit bawaan haiwan, bahaya yang datang dari makanan, bahkan adakalanya ujian perasaan. Kadang-kadang perkara-perkara yang tidak terfikir dan terduga dek akal pun boleh menjadi ujian kepada manusia.

 

Ujian demi ujian datang menerpa. Isteri memudharatkan suami, suami memudharatkan isteri. Anak memudharatkan ibubapa, ibubapa memudharatkan anak-anaknya. Murid-murid memudharatkan guru, guru-guru memudharatkan murid-muridnya. Adakalanya kenderaan memudharatkan manusia. Harta juga sering memudharatkan tuannya sebagaimana pangkat dan kuasa memudharatkan pemiliknya. Paling menyedihkan apabila sahabat mengkhianati sahabatnya. Malah lebih malang lagi ialah apabila pendakwah menabur fitnah kepada pendakwah yang lain!

 

Ujian, mehnah dan tribulasi adalah lumrah di dalam Sekolah Kehidupan ini. Kalau memang sudah begini hakikatnya, alangkah baiknya jika ketika kita diuji dalam keadaan kita mentaatiNya daripada diuji dalam keadaan kita menderhaka kepadaNya. Ini kerana sudah tentu ujian dalam keadaan kita mentaatiNya itu pasti akan mendapat redha Allah selain mendapat darjat dan pangkat di dalam Syurga. Kalau dalam derhaka kemudian diuji juga, maka rugilah di dua negeri. Di negeri dunia mendapat kesusahan, di negeri Akhirat sana Neraka pula menjadi balasan. Na’uzubillahi min dzalik.

 

Apabila menyebut tentang ujian, maka renungilah falsafah bermakna yang digali rahsianya dari Kitab Suci Al-Qur’an Al-Karim berikut. Hayatilah ia dengan mata hati, semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua. Amiin.

 

KENAPA AKU DIUJI?
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah Al-Ankabut, ayat 2-3)

 

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, ayat 216)

 

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?
“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 286)

 

RASA FRUST?
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 139)

 

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Surah Ali ‘Imran, ayat 200)

 

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk” (Surah Al-Baqarah, ayat 45)

 

APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…” (Surah At-Taubah, ayat 111)

 

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal.” (Surah At-Taubah, ayat 129)

 

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!!!
“… dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” (Surah Yusuf, ayat 12)

 

Semoga segala persoalan dan rintihan yang melanda jiwa dan sanubari kita terubat dengan janji-janji Allah… Sesungguhnya kepada Kitab Suci Al-Qur’anlah tempat kita merujuk segala permasalahan kerana ia adalah penawar… Penawar untuk kita… Marilah kita kembali kepada Al-Qur’an… Kembali mengamalkan ajaran yang terkandung di dalamnya sepenuhnya… Semoga Allah memberkati sahabat-sahabat seperjuangan sekalian! Amiin.

 

Wallahu a’lam bissawab.